Weblog Popular 1Malaysia

weblogmalaysia

Sudah bebarapa hari Kak Long cuba menyiapkan entri ini. Entri ini bertujuan untuk mencalonkan sebuah blog untuk peraduan Weblog Popular 1Malaysia.

Untuk membolehkan seseorang itu memenangi peraduan ini dengan hadiah bernilai  RM 1000, sesebuah blog itu perlu  mendapat pencalonan terbanyak dari teman-teman blogger. Semua blogger di Malaysia layak untuk menyertai peraduan ini.   Apa yang diperlukan hanyalah buat satu posting di weblog ANDA dengan memilih satu blog yang paling ANDA sukai dan tuliskan apa bestnya weblog tersebut .

Pada hari ini,  Kak Long ingin mencalonkan sebuah blog yang Kak Long suka. Kak Long nak ajak teman-teman yang lain sama-sama mengemukakan penamaan calon sebelum terlewat.

Inilah pencalonannya……..

Saya tahu tentang contest Weblog Popular 1Malaysia dari blog http://kujie2.com dan blog yang paling saya sukai ialah blog  yang sama iaitu blog HIDUP BIAR SEDAP,  yang dimiliki oleh Kujie.

Contest Webblog Popular 1Malaysia ini dianjurkan oleh DenaiHati pemilik blog Yang Terbuku Di Hati.  Hadiahnya memang lumayan.  Walaupun masih ada masa lebih kurang sebulan lagi kerana peraduan ini bermula pada 1/7/2009 dan tamat jam 12.00 am pada 30/9/2009 (Edisi Edit – telah dilanjutkan sehingga 30/10/2009) tetapi kalau bertangguh, bimbang terlupa pula. Tambahan pula sekarang cuti sekolah, tak perlu menulis di buku rekod mengajar, jadi carilah alternatif nak menulis pada tempat lain pula…..

Hadiah-hadiah tersebut ditaja oleh sponsor yang HEBAT iaitu : SAUDACARE dan ANISHA ONLINE MALL. dan yang terbaru One Malaysia Blogshops

Terima kasih daun keladi, semoga bermurah hati untuk sponsor lagi.

Saya nak senaraikan sebab-sebab saya suka blog HIDUP BIAR SEDAP,  yang dimiliki oleh Kujie. ini.

Antaranya:-

1.  Perkara pertama yang membuatkan saya tertarik dengan blog ini ialah tajuk blognya iaitu Hidup Biar Sedap yang membuatkan bila saya lihat, terdetik di dalam hati “Rasa-rasa pernah kudengar!”. Hmm…rupa-rupanya iklan ais krim kegemaran saya. Mula-mula saya hanya menjadi pembaca senyap, malu nak menyampuk kerana saya lihat blog ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Setelah agak lama mengikutinya, barulah saya memberanikan diri menyapa pemiliknya.

2.  Tajuk-tajuk entri yang menarik juga menjadi daya tarikan saya untuk terus mengunjung blog ini. Kadang-kadang saya hairan, macam manalah  Kujie begitu kreatif  dalam pemilihan tajuk-tajuk yang memang ada umphh tu.

3.  Saya juga sukakan isi kandungan blog ini sebab macam-macam ada. Saya dapati entri yang ditulis  sesuai dengan pelbagai lapisan umur.  Ada cerita keluarga, kisah masyarakat, kisah politik, berita terkini, tazkirah, tutorial, motivasi dan macam-macam lagi…Bagi saya pengisiannya sangat baik, sebab itu,  tak hairanlah pengunjung blog ini sentiasa ramai.

4. Informasi dan bahasa yang terdapat pada blog ini memang menarik. Jujur saya katakan, banyak pengetahuan baru yang saya dapati daripada blog ini. Bahasanya menarik, agak  santai tetapi  teratur  dan mudah difahami. Kebanyakannya menggunakan bahasa Melayu standard yang saya tahu telah dirujuk terlebih dahulu daripada sumber-sumber yang dipercayai.  Blog ini juga sentiasa mempunyai entri baru, jadi setiap kali mengunjunginya, tentunya tak pulang kosong.  Tak macam blog saya. huhuhu….

5. Satu lagi sebab ialah pendekatan pemiliknya sendiri. Melalui ruang komen, saya menilai pemilik blog ini  sebagai seorang yang selalu menjaga hubungannya dengan pengunjung blognya.  Walaupun saya tidak pernah bersua muka dengan beliau, kemesraan yang terjalin melalui blog sangat menyenangkan.

Selesai sudah proses penamaan calon ini ya….  Apa yang saya tuliskan di atas merupakan pengakuan jujur daripada saya terhadap blog tersebut berdasarkan kepada penilaian saya.  Jika ada yang tidak berkenan di hati, terutamanya pemilik blog, maaf Kak Long pohonkan.

1 blog hanya layak mencalonkan 1 Weblog Popular 1Malaysia sahaja, jadi maaflah sebab tak boleh calonkan orang lain.

Sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang peraduan ini, bolehlah berkunjung ke blog penganjurnya iaitu Denaihati di blog beliau iaitu linknya [ sini ] .

Sekian adanya……

(Entri ini telah diedit pada 11 Oktober 2009)

Kawasan Panas

Semalam, tiba-tiba dapat surat untuk menghadiri kursus sampai hujung minggu. Macam ribut, kena sedia. Enjin baru nak panas, kerja di sekolah pun belum selesai, dah kena keluar pula. Kelam-kabut juga sedia nak berkursus.

Pagi sempat masuk kelas dan kemudian terus je menuju ke tempat kursus kerana pendaftaran mula pukul 2.00 petang. Kali ni Kak Long berkursus di kawasan panas sepanas gurun sahara. Tentu semua sedia maklum, bahawa sekarang ni banyak perhatian tertumpu ke kawasan ini kerana akan diadakan pilihanraya kecil. Jadi, kira bertuahlah sebab dapat juga rasa tempias panas bara di sana.

Ada juga ambil gambar masa dalam perjalanan. Harap2 adalah masa senggang antara waktu kursus untuk upload gambar yang diambil. Kalau tak, kena tunggu balik rumah pulak.

Kak Long dah cuba live blogging di rumah baru Kak Long. Cuma dalam proses percubaan sebab masih berselerak dan berterabur. Malu nak jemput kawan-kawan berkunjung dulu. Nanti kalau dah siap, nak adakan ‘house-warming’, bolehlah sesiapa yang sudi nak bertepung-tawar datang….

Sementara tu, marilah bergolek-gelantang kat rumah ni dulu ya…………

Eh..cuti dah habis!

Macam baru tersedar dari lamunan pulak. Bangun pagi, sebelum sembahyang subuh, macam nak bermalas-malasan lagi. Tiba-tiba…tersedar yang cuti raya dah habis. huhuhu…hari ni kena memulakan tugas semula seperti biasa.

Selalu tu, bila nak mula kerja semula, excited betul..sebab ada masanya bosan juga cuti lama-lama ni. Rindu kat sekolah, rindu kat kawan-kawan, rindu kat pelajar-pelajar, rindu kat boss yang selalu bagi arahan, rindu kat kantin sekolah, rindu kat pokok bunga mawar di tepi pejabat….pendek dan panjang kata, rindulah macam-macam. Tapi hari ni, isk, isk, isk…rasa macam tak puas lagi cuti. (Ha, ni mesti raya punya pasal….hehehe, tak pasal2 menyalahkan raya pulak! Alasan ya alasan!)

Minggu raya, memang sibuk beraya. Hujung minggu (semalam dan kelmarin), dalam sibuk pergi beraya dan melayan periuk dan kuali untuk menjamu para tamu, sempat juga Kak Long pergi memanjakan diri. Kalau tak manjakan diri sendiri, siapa lagi, kan! kan! kan!

gambar : Mr Gooegle
Gambar: Mr. Google

Balik aje, rupanya tetamu dah menunggu. Nasib baik barang2 dah tersedia. Kemudian ayahanda dan adinda mengajak ke Bertam Melaka untuk beraya di rumah sepupu Kak Long di sana. Balik dari situ, adindaku itu, sibuk sangat nak makan ikan bakar di Pengkalan Balak. Sebenarnya Kak Long tak pernah lagi singgah di situ. Sempat kami melihat orang sedang menjaring geragau. Namun, makan di salah sebuah kedai di situ, tapi rasanya tak begitu menyakinkan hati untuk pergi lagi.

Hari Ahad, ramai tetamu yang berkunjung. Sempat juga membawa tetamu-tetamu Kak Long pergi ke spa untuk bersauna dan berurut. Hehehe…macamlah dapat komisyen daripada pemiliknya! Menu hari Ahad bermula daripada mee kari, nasi berlauk dan char kue teow.  Seronok bila sampai petang, semuanya dah habis.

Jadi, pagi ni bila nak memulakan kerja semula, aduhai…terbawa-bawa mood cuti yang tak berpenghujung. Nasib baik tak ada kelas awal pagi. Dan alhamdulillah, menjelang waktu masuk ke kelas, dah bermotivasi semula. Yea, cuti dah habis! Kerja, kerja, kerja!

Pusara di jalanraya

Mendengar dan menonton berita di TV1 tadi, dilaporkan setakat pukul 10 pagi ini telah ada 2 kemalangan maut

Setiap kali musim perayaan, pasti jumlah kemalangan akan bertambah. Lebih menyedihkan kerana dalam bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri, ada yang menangis pilu kerana kehilangan keluarga tersayang. Pelbagai cara dilakukan untuk mengurangkan kes kemalangan pada musim perayaan, namun nampaknya masih belum dapat diatasi.

Gambar hiasan: Sumber: Bharian Online

Gambar hiasan: Sumber: Bharian Online

Hari ini dan esok, jumlah pengguna jalanraya terutama di lebuhraya pasti bertambah ramai kerana lebih ramai pengguna yang bercuti panjang sempena Hari Raya Aidilfitri akan pulang ke rumah masing-masing untuk memulakan tugas masing-masing. Tambahan pula cuti sekolah selama seminggu sempena Hari Raya juga akan berakhir esok.

Kak Long – Marilah sama-sama berusaha dan berdoa agar kita semua terhindar daripada sebarang mara bahaya di jalanraya. Amin…

Minggu Raya

Hari Raya yang pertama hingga ke tiga, cuma di rumah keluarga melayan tetamu. Hanya sempat ke rumah ibu saudara yang hampir. Tahun ini, kami semua berkumpul di kampung. Ibu saudara dan sepupu2 saya pun semuanya pulang beraya di rumah di kampung. Memang sangat meriah. Walaupun tak menang tangan melayan saudara mara yang berkunjung (kerana dalam adik-beradiknya, ayahanda merupakan saudara tua kerana abang dan kakaknya telah tiada). Memang riuh di rumah kami dengan tetamu yang hadir. Sejak awal pagi, pelbagai hidangan tambahan telah disediakan kerana maklum bahawa rumah kami memang akan menjadi tumpuan…

ketupat

ketupat

 

lemang raya

lemang raya

 

Nasib baik ada dua orang pembantu rumah yang ringan tulang bersama. Walaupun masak-memasak jadi tugas Kak Long dan adik-adik bersama makcik, adanya dua orang pembantu rumah yang sudi bersama kami berhari raya (tidak pula demand untuk bercuti pada hari raya), maka dapatlah membantu menguruskan pinggan-mangkuk.

Pada hari Raya ke-3, saya sempat menziarahi saudara-mara di sekitar Shah Alam dan Rawang. Punyalah sakan beraya, pukul 3 pagi baru sampai semula di kampung.

Semalam saya sempat beraya ke rumah ibu saudara di Alor Gajah. Semasa melintasi bandar Alor Gajah, memang ‘happening’ bandar Alor Gajah yang bermandikan cahaya.  Nampak unik pulak bangunan di situ dipasang lampu-lampu yang bewarna-warni.

 

Alor Gajah

Alor Gajah

Kak Long : Hari ini masih di rumah.  Baru berpeluang menghadap laptop lama sikit dan broadband pun nampaknya tak mabuk sangat….

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Pada kesempatan ini, Kak Long ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Jika ada kesilapan dan kekhilafan selama ini, mohon dimaafkan.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI,

TANGAN DIHULUR MAAF DIPINTA,

SEIKHLAS KATA SEMURNI HATI,

SEMOGA BAHAGIA DI HARI MULIA.

Di selekoh itu

Kita telah memasuki 27 Ramadan.Hanya beberapa hari sahaja lagi akan berakhirnya bulan yang penuh keberkatan ini.

Hmmm…..dah nak hampir sampai di selekoh terakhir di bulan Ramadan???

Hanya tinggal 3 hari lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadan. Semoga tiap selekoh yang telah kita lalui di sepanjang bulan Ramadan banyak memberikan manfaat dan tambah mengukuhkan keimanan kita sebagai umat Islam.

Hanya beberapa hari lagi bulan Syawal akan menjelang. Terasa begitu cepat masa berlalu…

Cuti sekolah untuk musim perayaan kali ini pun akan bermula pada hari Jumaat. Bermakna, mulai petang nanti, akan ramailah yang mula berbondong2 menuju ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri yang akan menjelma bersama keluarga tercinta. (walaupun dah ada yang pulang awal macam si bintang comel tu…)

Dalam perjalanan pulang ke kampung atau semasa berhari raya nanti,  banyak selekoh yang akan kita lalui.

Berhati-hati…..

Memandulah dengan cermat….

Ambillah segala langkah keselamatan…..

Semoga Aidilfitri membawa kenangan yang terindah.

Kak Long :–  Letih mengengsot2 pergi blog kawan-kawan.  Cuma sempat melawat beberapa blog saja. Masa pun terhad. Dah janji nak kutip kad raya yang Zyma bagi.  Maaflah lewat sikit sampai kat blog yang lain-lain…. Hari ini streamyx tak jalan. Ganti broadband pun masih perlahan. Banyak sangat selekoh berliku… hehehe…

kad-raya Zyma

Manusia dan Kesakitan

Syukur kepadaMu Ya Allah, kerana mengurniakan rasa sakit kepada manusia. Walaupun semua orang tidak mahu berasa sakit, tetapi rasa sakit itu harus tetap dirasai oleh setiap manusia. Ketika manusiaberasa sakit, seringkali ingatannya terhadap Tuhan lebih kuat daripada waktu-waktu  dia tidak sakit.

credit to: theburningblogoffire

credit to: theburningblogoffire

Semasa kita tidak sakit, bukannya kita tidak mengingatiNya tetapi apabila kita mengalami kesakitan, kita lebih kerap mengingatiNya. Adakah itu lumrah manusia? Atau mungkin kerana iman kita yang senipis bawang menyebabkan Allah ingin menguji kita dengan kesakitan?

Mengapa Tuhan mewujudkan rasa sakit? Mungkin sebagai tanda Dia mengasihi kita dan ingin kita lebih dekat kepadaNya. Mungkin juga jika tiada rasa sakit, kita lebih mudah hanyut dalam kegembiraan yang tidak bertepi. Sakit di dunia ini hanya sedikit jika dibandingkan dengan kesakitan yang harus kita tanggung dalam dunia sesudah mati.

Seringkah kita terfikir, jika kesakitan yang kecil pun kita sering merintih dan rasa tidak tertanggung, bagaimanakah nanti jika waktu itu tiba? Sedangkan sebagai manusia pasti tiada yang tidak lepas daripada pelbagai dosa. Kesakitan seringkali membuat manusia lebih banyak mengenangNya serta mengingati nikmat yang telah begitu banyak dilimpahiNya.

Bila kesakitan ini lebih mendekatkan aku padamu, kupanjatkan rasa syukur dan aku redha dengan segala ujianMu yang hanya sekecil ini berbanding nikmat yang telah sekian lama Kaukurniakan kepadaku!