Weblog Popular 1Malaysia

weblogmalaysia

Sudah bebarapa hari Kak Long cuba menyiapkan entri ini. Entri ini bertujuan untuk mencalonkan sebuah blog untuk peraduan Weblog Popular 1Malaysia.

Untuk membolehkan seseorang itu memenangi peraduan ini dengan hadiah bernilai  RM 1000, sesebuah blog itu perlu  mendapat pencalonan terbanyak dari teman-teman blogger. Semua blogger di Malaysia layak untuk menyertai peraduan ini.   Apa yang diperlukan hanyalah buat satu posting di weblog ANDA dengan memilih satu blog yang paling ANDA sukai dan tuliskan apa bestnya weblog tersebut .

Pada hari ini,  Kak Long ingin mencalonkan sebuah blog yang Kak Long suka. Kak Long nak ajak teman-teman yang lain sama-sama mengemukakan penamaan calon sebelum terlewat.

Inilah pencalonannya……..

Saya tahu tentang contest Weblog Popular 1Malaysia dari blog http://kujie2.com dan blog yang paling saya sukai ialah blog  yang sama iaitu blog HIDUP BIAR SEDAP,  yang dimiliki oleh Kujie.

Contest Webblog Popular 1Malaysia ini dianjurkan oleh DenaiHati pemilik blog Yang Terbuku Di Hati.  Hadiahnya memang lumayan.  Walaupun masih ada masa lebih kurang sebulan lagi kerana peraduan ini bermula pada 1/7/2009 dan tamat jam 12.00 am pada 30/9/2009 (Edisi Edit – telah dilanjutkan sehingga 30/10/2009) tetapi kalau bertangguh, bimbang terlupa pula. Tambahan pula sekarang cuti sekolah, tak perlu menulis di buku rekod mengajar, jadi carilah alternatif nak menulis pada tempat lain pula…..

Hadiah-hadiah tersebut ditaja oleh sponsor yang HEBAT iaitu : SAUDACARE dan ANISHA ONLINE MALL. dan yang terbaru One Malaysia Blogshops

Terima kasih daun keladi, semoga bermurah hati untuk sponsor lagi.

Saya nak senaraikan sebab-sebab saya suka blog HIDUP BIAR SEDAP,  yang dimiliki oleh Kujie. ini.

Antaranya:-

1.  Perkara pertama yang membuatkan saya tertarik dengan blog ini ialah tajuk blognya iaitu Hidup Biar Sedap yang membuatkan bila saya lihat, terdetik di dalam hati “Rasa-rasa pernah kudengar!”. Hmm…rupa-rupanya iklan ais krim kegemaran saya. Mula-mula saya hanya menjadi pembaca senyap, malu nak menyampuk kerana saya lihat blog ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Setelah agak lama mengikutinya, barulah saya memberanikan diri menyapa pemiliknya.

2.  Tajuk-tajuk entri yang menarik juga menjadi daya tarikan saya untuk terus mengunjung blog ini. Kadang-kadang saya hairan, macam manalah  Kujie begitu kreatif  dalam pemilihan tajuk-tajuk yang memang ada umphh tu.

3.  Saya juga sukakan isi kandungan blog ini sebab macam-macam ada. Saya dapati entri yang ditulis  sesuai dengan pelbagai lapisan umur.  Ada cerita keluarga, kisah masyarakat, kisah politik, berita terkini, tazkirah, tutorial, motivasi dan macam-macam lagi…Bagi saya pengisiannya sangat baik, sebab itu,  tak hairanlah pengunjung blog ini sentiasa ramai.

4. Informasi dan bahasa yang terdapat pada blog ini memang menarik. Jujur saya katakan, banyak pengetahuan baru yang saya dapati daripada blog ini. Bahasanya menarik, agak  santai tetapi  teratur  dan mudah difahami. Kebanyakannya menggunakan bahasa Melayu standard yang saya tahu telah dirujuk terlebih dahulu daripada sumber-sumber yang dipercayai.  Blog ini juga sentiasa mempunyai entri baru, jadi setiap kali mengunjunginya, tentunya tak pulang kosong.  Tak macam blog saya. huhuhu….

5. Satu lagi sebab ialah pendekatan pemiliknya sendiri. Melalui ruang komen, saya menilai pemilik blog ini  sebagai seorang yang selalu menjaga hubungannya dengan pengunjung blognya.  Walaupun saya tidak pernah bersua muka dengan beliau, kemesraan yang terjalin melalui blog sangat menyenangkan.

Selesai sudah proses penamaan calon ini ya….  Apa yang saya tuliskan di atas merupakan pengakuan jujur daripada saya terhadap blog tersebut berdasarkan kepada penilaian saya.  Jika ada yang tidak berkenan di hati, terutamanya pemilik blog, maaf Kak Long pohonkan.

1 blog hanya layak mencalonkan 1 Weblog Popular 1Malaysia sahaja, jadi maaflah sebab tak boleh calonkan orang lain.

Sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang peraduan ini, bolehlah berkunjung ke blog penganjurnya iaitu Denaihati di blog beliau iaitu linknya [ sini ] .

Sekian adanya……

(Entri ini telah diedit pada 11 Oktober 2009)

Kawasan Panas

Semalam, tiba-tiba dapat surat untuk menghadiri kursus sampai hujung minggu. Macam ribut, kena sedia. Enjin baru nak panas, kerja di sekolah pun belum selesai, dah kena keluar pula. Kelam-kabut juga sedia nak berkursus.

Pagi sempat masuk kelas dan kemudian terus je menuju ke tempat kursus kerana pendaftaran mula pukul 2.00 petang. Kali ni Kak Long berkursus di kawasan panas sepanas gurun sahara. Tentu semua sedia maklum, bahawa sekarang ni banyak perhatian tertumpu ke kawasan ini kerana akan diadakan pilihanraya kecil. Jadi, kira bertuahlah sebab dapat juga rasa tempias panas bara di sana.

Ada juga ambil gambar masa dalam perjalanan. Harap2 adalah masa senggang antara waktu kursus untuk upload gambar yang diambil. Kalau tak, kena tunggu balik rumah pulak.

Kak Long dah cuba live blogging di rumah baru Kak Long. Cuma dalam proses percubaan sebab masih berselerak dan berterabur. Malu nak jemput kawan-kawan berkunjung dulu. Nanti kalau dah siap, nak adakan ‘house-warming’, bolehlah sesiapa yang sudi nak bertepung-tawar datang….

Sementara tu, marilah bergolek-gelantang kat rumah ni dulu ya…………

Eh..cuti dah habis!

Macam baru tersedar dari lamunan pulak. Bangun pagi, sebelum sembahyang subuh, macam nak bermalas-malasan lagi. Tiba-tiba…tersedar yang cuti raya dah habis. huhuhu…hari ni kena memulakan tugas semula seperti biasa.

Selalu tu, bila nak mula kerja semula, excited betul..sebab ada masanya bosan juga cuti lama-lama ni. Rindu kat sekolah, rindu kat kawan-kawan, rindu kat pelajar-pelajar, rindu kat boss yang selalu bagi arahan, rindu kat kantin sekolah, rindu kat pokok bunga mawar di tepi pejabat….pendek dan panjang kata, rindulah macam-macam. Tapi hari ni, isk, isk, isk…rasa macam tak puas lagi cuti. (Ha, ni mesti raya punya pasal….hehehe, tak pasal2 menyalahkan raya pulak! Alasan ya alasan!)

Minggu raya, memang sibuk beraya. Hujung minggu (semalam dan kelmarin), dalam sibuk pergi beraya dan melayan periuk dan kuali untuk menjamu para tamu, sempat juga Kak Long pergi memanjakan diri. Kalau tak manjakan diri sendiri, siapa lagi, kan! kan! kan!

gambar : Mr Gooegle
Gambar: Mr. Google

Balik aje, rupanya tetamu dah menunggu. Nasib baik barang2 dah tersedia. Kemudian ayahanda dan adinda mengajak ke Bertam Melaka untuk beraya di rumah sepupu Kak Long di sana. Balik dari situ, adindaku itu, sibuk sangat nak makan ikan bakar di Pengkalan Balak. Sebenarnya Kak Long tak pernah lagi singgah di situ. Sempat kami melihat orang sedang menjaring geragau. Namun, makan di salah sebuah kedai di situ, tapi rasanya tak begitu menyakinkan hati untuk pergi lagi.

Hari Ahad, ramai tetamu yang berkunjung. Sempat juga membawa tetamu-tetamu Kak Long pergi ke spa untuk bersauna dan berurut. Hehehe…macamlah dapat komisyen daripada pemiliknya! Menu hari Ahad bermula daripada mee kari, nasi berlauk dan char kue teow.  Seronok bila sampai petang, semuanya dah habis.

Jadi, pagi ni bila nak memulakan kerja semula, aduhai…terbawa-bawa mood cuti yang tak berpenghujung. Nasib baik tak ada kelas awal pagi. Dan alhamdulillah, menjelang waktu masuk ke kelas, dah bermotivasi semula. Yea, cuti dah habis! Kerja, kerja, kerja!

Simbol bunga mawar

Hari ini nak cerita tentang bunga mawar.

Kak Long pernah terbaca tentang makna bunga Mawar berdasarkan bilangannya.

Bilangan Makna yang tersirat Catatan
1 “I Love you@ Aku cinta padamu”“Hanya kau untukku” Sekuntum bunga mawar amat ringkas untuk menyampaikan luahan kasih sayang.
two-red-roses “Marilah bersamaku” 2 kuntum bunga diberikan sebagai simbol permulaan menjalinkan perhubungan.
Valentine Rose “Kau dan aku dan cinta kita akan bersatu” 3 kuntum bunga menyatakan perasaan cinta yang berputik dan mengharapkan cinta bersatu.
6 “Aku sedang mencintaimu” Masih belum sepenuhnya.

Mungkin separuh jalanlah tu…

12-red-roses “Jadilah kepunyaanku” 12 kuntum bunga mawar khabarnya diberikan sebagai simbol untuk melamar.
24-red-roses “Aku Milikmu” 24 kuntum bunga bagi melambangkan cinta yang melimpah
Image of 50-red-roses “Cintaku padamu tiada batasan.” 50 kuntum bunga bertujuan memberitahu bahawa cinta yang tiada batasan.

Biasanya bunga diberikan oleh seorang lelaki kepada perempuan, tak kiralah, ibu ke, isteri ke, kekasih ke atau kawan.
Dan khabarnya 13 kuntum bunga melambangkan ucapan tahniah.
Begitulah yang pernah Kak Long baca.
Agak2nya daripada pengalaman pembaca, boleh diterima ke simbol di atas tu?
Opps…kalau ada yang lebih arif tentang simbol bilangan bunga mawar yang diberikan kepada seseorang tu, jomlah kongsi di sini.

Spiderlah…bukan spiderman

Lihat gambar ni..

Kenal haiwan apa ini? Sudah pasti ramai yang tahu…

imagesafricagamefarms

Sumber: africagamefarms.com

Ini spider, bukannya spiderman.

Sebenarnya ada 40,000 jenis spider yang berbeza.

Dalam bahasa Melayu, spider ni ialah labah-labah.

Daripada kidport.com

Daripada kidport.com

Sejenis lagi spider @ labah-labah…seram juga bila tengok.

Hari ni, jom tengok apa ada pada spider@ labah-labah ni dan tak ada pada spiderman….

Spider@ labah-labah ada pelbagai saiz.

Ada yang sekecil kepala pin.

Ada yang sebesar tangan kita.

Spider@ labah-labah ada berapa kaki murid-murid?

Oh, pandai…ya, betul! Spider@labah-labah ni ada lapan kaki.

Spider@ labah-labah ada 2 bahagian badan.

Kebanyakan spider@labah-labah buat sarang daripada benang sutera yang dihasilkan daripada perutnya.

Pernah terfikir macam mana labah-labah ini berjalan di sarangnya dengan laju?

Sebenarnya pada kaki labah-labah yang halus itu ada bahan berminyak, menyebabkan pergerakan labah-labah tersebut lancar. Sarang labah-labah yang melekit digunakan untuk menangkap mangsa yang menjadi makanannya.

Setakat ini dulu cerita tentang spider ni.

Kak Long:- Saya ternampak gambar spiderman, terus teringat nak tulis tentang spider. 🙂

Post yang ke-100

Hari ini bermulalah peperiksaan percubaan SPM bagi tahun ini. Dan Kak Long pun kena bertugas mengawasi peperiksaan hingga pada pukul 4.30 petang ini. Tak lama lagi bermulalah kesibukan memeriksa kertas-kertas peperiksaan.

Entri ini merupakan post yang ke-100. Kak Long mula menceburi bidang blogger sebagai blogger yang tidak tegar semenjak bulan Disember 2008. Pada masa itu, Kak Long menulis blog sekadar suka-suka, sebagai catatan peribadi dan syok sendiri. hehehe….. Tak sangka pulak, seronok juga dunia blog ini. Melalui dunia blog, boleh mendapat kawan-kawan, berkongsi pengalaman, mendapat dan menyampaikan pesanan dan sering juga sebagai medan menajamkan akal fikiran.

Justeru, sebagai blogger yang belumpun setahun jagung, maka terlalu banyaklah kelemahan dan kekurangan dalam blog Kak Long ini. Maka, diharapkan kepada teman-teman yang sudi mengunjungi blog ini akan memaafkan kekurangan-kekurangan itu. Pandangan dan tunjuk ajar daripada sifu-sifu amatlah dialu-alukan…

Kak Long – Nak ke luar daerah sebentar esok. Ada tugasan yang perlu dibereskan. Hmmm….malam ni kena siapkan segala dokumen yang perlu dibawa. Tak dapat nak merayau-rayau di ruang maya.

Apa-apapun boleh

Gambar dari bharian.com.my

Gambar dari bharian.com.my

 Melihat gambar muka depan akhbar Berita Harian hari ini, pemakaian penutup muka oleh pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Presint 9 (2)  wajar dicontohi oleh semua rakyat Malaysia tidak kira semasa berada di sekolah mahupun jika berada di tempat-tempat awam. 

Khalayak memang telah sedia maklum bahawa virus H1N1 memang sedang merebak dengan begitu pantas di negara kita dan setakat semalam seramai 32 orang telah disahkan maut angkara virus yang melanda ini. Kerajaan juga dilaporkan telah menyediakan peruntukan tambahan RM20 juta bagi menambah stok bekalan antiviral Tamiflu dan Relenza sebagai langkah segera bagi mengawal penularan wabak Influenza A (H1N1)ini. Namun setakat manakah kita sendiri berusaha untuk menjauhi diri dan keluarga daripada terdedah kepada virus yang sangat merbahaya ini? 

Teruskan membaca

Kampung terbakar?

Akar nibung meresap-resap,
Akar mati dalam perahu,
Terbakar kampung kelihatan asap,
Terbakar hati siapa tahu…

Di manakah kampung yang terbakar itu?
Hmmm….Cuma serangkap pantun yang ditemui dalam Kitab Kiliran Budi.
Sungguh berseni orang dahulu menyampaikan maksud.

H1N1 lagi…

Mendengar berita tentang kes kematian terbaru yang membabitkan H1N1 tu tambah membimbangkan. Hari ini, cuaca muram. Kelas semakin susut bilangan pelajar kerana sesiapa yang demam diberikan cuti oleh doktor dan dibenarkan pulang ke kampung. Belum ada pengesahan tentang pelajar dijangkiti virus ini walaupun semalam seorang pelajar ditahan di wad.

Hari ini banyak membaca dan mencari info tentang penyakit. Berguna juga untuk memberi panduan kepada pelajar.  Kak Long terjumpa bebarapa blog yang memaparkan tentang virus ini. Salah satu daripadanya, blog Jard, yang mengandungi banyak juga info tentang virus H1N1 ini. Selain itu, blog Kementerian Kesihatan juga ada memaparkan laporan terkini tentang H1N1.

Kenapa virus ini seakan sukar dikawal? Walaupun beberapa langkah diambil termasuk menutup institusi pengajian dan sekolah, namun selagi tiada kesedaran dan sifat tanggungjawab, pasti sukar untuk dikekang. Hari ini pun Kak Long dapat berita, orang yang sepatutnya dikuarantin di rumah, masih sempat mengunjung Pesta Flora di Putrajaya. (Kisah benar…. Sila percaya!)  Patutkah mereka memandang ringan hal ini sedangkan ketidakprihatinan mereka ini mengundang risiko yang besar?

Hari ini berada di sekolah sampai ke petang. Jadi, malam ni tak nak  cerita banyak sangat. Nak berehat di depan komputer,  makan  kacang sambil menjelajah ke blog teman-teman…..

kacang

Risau…

Awalnya malam semalam saya merancang untuk masuk beradu lebih awal, melayan mimpi-mimpi indah jika ia indah dan menepis mimpi-mimpi yang kurang menyenangkan, jika ditakdirkan mendapat mimpi yang tak indah (walaupun saya dah gosok gigi, basuh kaki, ambil wuduk dan baca doa tidur 🙂 ) tapi, saya hanya mampu merancang, Allah yang menentukan.

Saya dah selesaikan kerja-kerja saya memasukkan data markah ujian. Juga telah selesai membuat sedikit persediaan untuk mengajar keesokan harinya. Saya mahu segarkan tubuh badan yang tidak cukup rehat walaupun hujung minggu kerana beberapa urusan di sekolah serta ususan peribadi yang memerlukan saya ke sana ke mari. Namun, mata saya tidak mahu lelap kerana risaukan mendengar berita tentang Awish yang dah masuk hari ke-3 demamnya. Teruskan membaca